My diagnosis

DIAGNOSIS SAYA

Apabila anda memahami diagnosis anda dengan lebih mendalam, anda dapat berbincang dengan pakar onkologi mengenai pilihan rawatan anda.

APAKAH ITU KANSER
PAYUDARA METASTATIK?

Kanser payudara metastatik ialah kanser yang telah merebak dari payudara ke bahagian badan yang lain. Tumor yang telah merebak ke bahagian badan yang lain dikenali sebagai metastasis.

Kanser payudara metastatik juga dirujuk sebagai kanser payudara Tahap IV atau kanser payudara lanjutan .

APAKAH MAKSUDNYA APABILA SAYA DIDIAGNOSIS DENGAN KANSER PAYUDARA METASTATIK?

Apabila anda didiagnosis dengan kanser payudara metastatik , bukanlah bermaksud rawatan awal anda tidak berkesan atau ia terjadi disebabkan gaya hidup anda. Kanser payudara boleh berulang di bahagian badan yang lain beberapa bulan atau tahun selepas diagnosis dan rawatan awal. Hampir 30% wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara peringkat awal akan menghidap kanser metastatik .

APAKAH UJIAN-UJIAN YANG PERLU SAYA AMBIL UNTUK MENGESAHKAN DIAGNOSIS DAN MENGETAHUI PERINGKAT KANSER SAYA?

Pertama sekali, pakar onkologi anda akan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai kanser anda – apakah jenis kanser payudara metastatik itu dan di mana ia telah merebak di dalam badan. Ini akan membantu pakar onkologi anda menentukan pelan rawatan terbaik untuk anda .

Jenis-jenis ujian yang mungkin anda jalani ialah:

Ujian makmal – ini ialah ujian darah, air kencing atau cecair badan yang lain.

Prosedur pengimejan – terdapat pelbagai prosedur pengimejan yang dapat membantu mengesan lokasi dan saiz tumor. Contoh-contoh prosedur ini ialah imbasan CT dan imbasan MRI.

Biopsi – prosedur ini melibatkan pengambilan sampel tisu daripada tumor anda untuk menguji penanda genetik yang terdapat pada sel tumor.

Ujian yang dijalankan mungkin berbeza mengikut individu, dan ia bergantung pada tanda-tanda dan symptom anda serta saranan oleh pakar onkologi.

Ujian dan imbasan yang digunakan untuk mendiagnosis kanser payudara anda mungkin akan diulang sepanjang rawatan berlansung. Ini akan membantu untuk menilai sekiranya

  • anda memberikan tindak balas yang baik terhadap rawatan anda contohnya, tumor mengecut
  • penyakit anda stabil (tumor tidak membesar atau mengecut),
  • anda tidak bertindak balas apabila tumor kembali membesar.

APAKAH JENIS-JENIS KANSER PAYUDARA?

Kewujudan (atau ketiadaan) penanda genetik tertentu pada sel-sel kanser payudara anda akan menentukan jenis kanser payudara yang anda hidapi. Dua jenis penanda utama ialah reseptor faktor pertumbuhan epidermis manusia 2 (Human Epidermal Growth Factor Receptor 2, HER2) dan reseptor hormon (Hormone Receptor, HR). Dua reseptor hormon yang penting dalam kanser payudara ialah reseptor estrogen (Estrogen Receptor, ER) dan reseptor progesteron (Progesterone Receptor, PR).

Dengan mengetahui kombinasi penanda genetik yang anda miliki, ini dapat membantu pakar onkologi anda memilih rawatan yang sesuai untuk anda.

Terdapat empat jenis kanser payudara yang utama :

HR-POSITIF, HER2-NEGATIF

Ini merupakan jenis kanser payudara yang paling kerap dihidapi kira-kira dua pertiga pesakit.

HR-NEGATIF, HER2-POSITIF

Reseptor faktor pertumbuhan epidermis manusia 2 (HER2) boleh didapati di dalam membran sel. HER2 yang diaktifkan akan menyebabkan pertumbuhan dan pembahagian sel kanser payudara. Apabila terdapat lebih daripada 2 salinan gen HER2 dalam sel-sel kanser payudara, ia akan menghasilkan terlalu banyak reseptor HER2. Akibatnya, sel kanser payudara akan berkembang dan membahagi dengan cepat. Kanser ini dipanggil HER2-positif.

HR-POSITIF, HER2-POSITIF

Ini merupakan jenis kanser yang mempunyai reseptor HER2 dan juga reseptor hormon.

HR-NEGATIF, HER2-NEGATIF (JUGA DIPANGGIL TRIPLE NEGATIVE )

Kanser ini tidak mempunyai reseptor HER2 atau reseptor hormon estrogen dan progesteron. 10–20% kanser payudara ialah triple negative.

Pakar onkologi anda mungkin ingin menguji semula sel-sel kanser anda untuk menentukan status HER2 dan reseptor hormon kerana paras reseptor ini sering berubah apabila kanser payudara anda berulang.

DI BAHAGIAN MANAKAH KANSER PAYUDARA METASTATIK BIASANYA BERLAKU DAN APAKAH SIMPTOMNYA?

Salah satu komponen penting dalam mendiagnosis kanser payudara metastatik adalah untuk mengenal pasti di mana kanser itu telah merebak – atau di mana anda mungkin mengalami metastasis. Ini membolehkan pakar onkologi anda memberikan rawatan khusus untuk membantu mengurangkan kesan-kesan komplikasi daripada metastasis anda. Sebagai contoh, rawatan untuk membantu menguatkan tulang anda sekiranya kanser telah merebak ke tulang anda. Bahagian badan yang paling biasa mengalami metastasis kanser payudara ialah tulang, hati, paru-paru dan otak. Simptom yang anda alami akan bergantung pada lokasi metastasis anda1,2

  • OTAK
    • PARU-PARU
    • HATI
    • TULANG
  • OTAK

    Simptom yang anda alami bergantung pada kawasan otak yang terjejas oleh kanser. Simptom yang mungkin dialami termasuklah sakit kepala, loya, kelesuan, lemah badan, kekeliruan, hilang ingatan, masalah pertuturan dan sawan1,2.

  • PARU-PARU

    Ada kalanya, sel-sel kanser payudara merebak ke salah satu atau kedua-dua belah paru-paru menerusi sistem darah atau limfa.

    Antara simptom yang dihidapi termasuklah sesak nafas, batuk, kesakitan dan kehilangan selera makan1,2,4.

  • HATI

    Sekiranya kanser payudara telah merebak ke bahagian hati, anda mungkin mengalami kesakitan, loya, kehilangan selera makan, sedu, jaundis, tidak bermaya dan kulit gatal1.

  • TULANG

    Metastasis tulang ialah bahagian paling biasa dikaitkan dengan kesakitan akibat kanser dan berlaku pada kira-kira dua pertiga wanita yang menghidap kanser payudara metastatik. Anda mungkin mengalami kesakitan, keretakan tulang akibat tulang yang semakin lemah, pemampatan tulang belakang, anemia dan kelesuan1.

Penting untuk anda berbincang dengan pakar onkologi anda sekiranya anda mengalami sebarang simptom yang luar biasa - jangan berlengah lagi.

SOALAN LAZIM

Di mana saya boleh mendatkan ujian saringan kanser payudara?

Kanser payudara merupakan antara bentuk kanser paling lazim di Malaysia dan kami syorkan kepada anda untuk dapatkan ujian saringan dengan kerap untuk pengesanan dan diagnosis awal. Anda boleh dapatkan saringan kanser payudara dengan tempahan temujanji di klinik atau hospital.
​​​​​​​
Walaupun ujian saringan kanser payudara tidak dapat mencegahnya, saringan dan pemantauan kerap terhadap payudara sebelum munculnya gejala dan simptom boleh membantu anda mengesan penyakit ini pada peringkat awal. Dengan bantuan ahli onkologi dan rawatan yang tepat, anda boleh mencegah penyakit ini daripada terus menular.

Berapa kerap saya harus melakukan pemeriksaan sendiri payudara?

Pemeriksaan seharusnya dibuat sebulan sekali. Waktu yang sesuai ialah 7 – 10 hari selepas haid, waktu di mana payudara anda kurang lembut dan lebih kental. Anda perlu memastikan bahawa anda mengikut garis panduan yang tepat semasa pemeriksaan anda dengan mengenal pasti perubahan tisu payudara seperti perubahan saiz, kewujudan ketulan, benjolan atau kedutan payudara, puting tertarik ke dalam, kemerahan atau penebalan kulit atau kawasan puting, atau sebarang lelehan daripada puting.
​​​​​​​
Jika anda mendapati sebarang perubahan seperti yang disenaraikan, anda perlu merujuk dengan doktor anda dengan kadar segera.

Apakah prognosis kanser payudara metastatik?

Walaupun tiada cara untuk menyembuh kanser payudara metastatik selepas ia didiagnosis, sejak tahun 90-an terdapat pelbagai pilihan rawatan yang boleh memanjangkan jangka hayat seorang pesakit di Malaysia. Sila rujuk ahli onkologi anda untuk memilih rawatan yang terbaik untuk anda.

Apakah jenis rawatan yang tersedia untuk kanser payudara metastatik?

Rawatan untuk kanser tahap 4 seperti ini merangkumi banyak rawatan sama seperti tahap kanser payudara yang lain.

  • Kimoterapi
  • Radioterapi
  • Terapi Hormon
  • Terapi Biologi Sasaran
  • Pembedahan Payudara

Rujukan

  1. National Breast Cancer Foundation Australia (2020). Stage 4- Metastatic Breast Cancer. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://nbcf.org.au/about-breast-cancer/diagnosis/stage-4-advanced-or-metastatic-breast-cancer/.
  2. Australian Government Cancer Australia (Ogos 2020) Metastatic Breast Cancer. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.canceraustralia.gov.au/affected-cancer/cancer-types/breast-cancer/types/metastatic-breast-cancer.
  3. Howlader, N et al. (2014) US Incidence of Breast Cancer Subtypes Defined by Joint Hormone Receptor and HER2 Status. JNCI 106 (5): 1-8.
  4. National Cancer Institute (2019). Breast Cancer Treatment Adult -Patient Version. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.cancer.gov/types/breast/patient/breast-treatment-pdq.