My treatment

RAWATAN SAYA

Proses pemilihan rawatan mungkin menimbulkan rasa gentar, malah anda turut mempunyai pelbagai soalan untuk ditanyakan kepada pakar onkologi mengenai pilihan yang tersedia. Anda ingin memilih rawatan yang berkesan, namun ia juga penting untuk anda memahami kesan sampingan yang mungkin berlaku dan mempertimbangkan bagaimana rawatan tersebut akan memberi kesan terhadap gaya hidup anda. Berbincanglah dengan pakar onkologi anda mengenai rawatan tersedia yang bersesuaian dengan anda.

APAKAH JENIS-JENIS RAWATAN UNTUK KANSER PAYUDARA METASTATIK?

Lazimnya, rawatan kanser payudara metastatik anda akan bergantung pada jenis dan lokasi kanser anda. Anda mungkin diberi gabungan terapi dalam satu masa ataupun cuma satu terapi sahaja.

Tiga jenis terapi ubat utama yang boleh ditawarkan untuk mengawal kanser anda ialah kemoterapi, terapi antihormon (juga dikenali sebagai terapi endokrin) dan terapi sasaran1,2. Sekiranya perlu, radioterapi dan pembedahan (jarang sekali) juga akan disyorkan untuk mengawal penyakit atau simptom.

Di samping itu, anda mungkin diberikan rawatan bagi membantu melegakan simptom kanser atau metastasis dalam badan anda, contohnya agen penstabil tulang seperti bisfosfonat untuk membantu menguatkan tulang anda, terutamanya jika anda mengalami metastasis tulang3,4.

/images/custom/treatment-types-iamge-new.png
  • ​​​​​​​KEMOTERAPI
  • ​​​​​​​RADIOTERAPI
  • ​​​​​​​TERAPI UBAT ANTIHORMON
  • ​​​​​​​TERAPI UBAT SASARAN
  • Agen penstabil tulang
  • Pembedahan
  • KEMOTERAPI

    Ubat kemoterapi yang diberikan melalui oral atau menerusi suntikan intravena akan membunuh sel-sel kanser. Walau bagaimanapun, ia juga boleh membahayakan sel normal dan menyebabkan kesan sampingan. Kemoterapi berpotensi menyebabkan kesan sampingan, oleh itu berbincanglah dengan pakar onkologi anda supaya anda dapat menangani kesan sampingan ini dengan lebih berkesan2.

  • RADIOTERAPI

    Radioterapi melibatkan penggunaan radiasi tenaga tinggi yang membunuh sel-sel kanser. Radioterapi mungkin diberikan untuk mengawal kanser anda dan juga melegakan kesakitan pada tulang. Biasanya, pancaran radiasi akan dilakukan pada metastasis dalam tulang yang menjadi punca kesakitan2.
    Radioterapi untuk kanser payudara metastatik biasanya diberikan sebagai dos tunggal atau sebagai rawatan jangka pendek selama beberapa hari. Anda mungkin mengalami kerengsaan kulit, keletihan, kesakitan dan bengkak pada bahagian yang dirawat.

  • Terapi ubat antihormon

    Estrogen dan progesteron merupakan hormon yang merangsang sesetengah sel kanser payudara untuk menghasilkan lebih banyak sel kanser. Sebahagian besar estrogen dihasilkan oleh ovari, namun hormon ini juga dihasilkan dalam kuantiti yang kecil oleh kelenjar adrenal, hati dan lemak badan. Sebahagian besar progesteron juga dihasilkan oleh ovari. Dengan menyekat tindakan hormon ini atau dengan merendahkan tahap hormon, pertumbuhan sel kanser payudara mungkin dapat dihentikan2.
    Terapi hormon terdiri daripada dua kategori iaitu Antiestrogen dan Aromatase inhibitor.

    Terapi hormon Nama generik ubat
    Antiestrogen Tamoxifen
    Fulvestrant
    Aromatase inhibitor Anastrozole
    Letrozole
    Exemestane


    Terapi hormon boleh menyebabkan anda mengalami simptom seperti anda sedang menopaus. Simptom menopaus termasuklah kepanasan , lelehan vagina atau vagina kering, masalah sukar tidur, berat badan bertambah, rambut menipis, lesu dan perubahan emosi6.

  • Terapi ubat sasaran

    Terapi sasaran bertindak pada jenis-jenis kanser payudara yang khusus dengan menghalang laluan tertentu yang digunakan oleh sel kanser payudara untuk merebak. Untuk menentukan kesesuaian terapi sasaran untuk anda, pakar onkologi anda perlu menentukan jenis kanser yang anda hidapi2.
    Terdapat terapi yang digunakan dalam rawatan kanser payudara HR-positif yang secara khusus menyasarkan laluan isyarat yang telah diaktifkan oleh hormon, contohnya estrogen2.
    Terdapat juga beberapa terapi yang menyasarkan reseptor HER22. Ubat-ubat ini berfungsi pada pesakit yang mempunyai paras HER2 yang tinggi dalam sel-sel kanser, tetapi ia tidak berfungsi pada kanser yang tidak mempunyai protein ini.

    Jenis7 Nama generik ubat7
    HER 2+ Trastuzumab
    Lapatinib
    Pertuzumab
    Ado-trastuzumab emtansine
    HER 2- Bevacizumab
    HR+ / HER2- Everolimus
    Palbociclib
    Ribociclib
  • AGEN PENSTABIL TULANG

    Ini adalah ubat-ubatan yang sering digunakan sekiranya berlaku metastasis dalam tulang. Ia bertindak dengan membantu menguatkan tulang dan mengurangkan kerapuhan tulang.
    Ia juga boleh membantu melegakan kesakitan tulang dan mengurangkan risiko patah tulang dalam jangka panjang3. Ubat-ubat ini diambil dalam bentuk pil atau suntikan.

  • PEMBEDAHAN

    Pembedahan jarang digunakan dalam merawat kanser payudara metastatik2. Jika pembedahan dijalankan, biasanya ia bertujuan untuk membuang tisu tumor bagi membantu memperbaiki fungsi badan anda atau melegakan kesakitan.
    Sekiranya anda menjalani pembedahan, anda mungkin akan menerima terapi ubat dan/atau radioterapi.


APAKAH PILIHAN RAWATAN KHUSUS UNTUK JENIS-JENIS KANSER PAYUDARA METASTATIK?

Pilihan rawatan adalah berbeza-beza, bergantung pada jenis kanser payudara metastatik anda1,7. Sebagai contoh, pakar onkologi anda mungkin mengesyorkan kombinasi rawatan antihormon dan terapi sasaran sekiranya kanser anda HR-positif, atau terapi sasaran HER2 untuk kanser HER2-positif. Berbincanglah dengan pakar onkologi anda untuk mengetahui rawatan yang terbaik untuk anda.

APAKAH RAWATAN YANG TERBAIK UNTUK SAYA?

Bagaimana saya mengetahui rawatan saya berkesan?

Setiap pesakit memberikan reaksi yang berbeza kepada rawatan kanser yang berbeza, jadi agak sukar untuk meramal sama ada rawatan tersebut berkesan untuk anda ataupun tidak. Pakar onkologi anda akan menjalankan pelbagai ujian dari masa ke semasa untuk mengetahui keberkesanan rawatan anda. Ini mungkin termasuk meneliti:

Saiz tumor/metastasis anda

Pakar onkologi anda mungkin akan menggunakan prosedur pengimejan untuk melihat sama ada tumor atau metastasis anda membesar, mengecut atau kekal pada saiz yang sama. Prosedur ini mungkin termasuk imbasan tomografi berkomputer (Computed Tomography, CT)10 atau pengimejan resonans magnetik (Magnetic Resonance Imaging, MRI)11.

Tahap penanda tumor

Penanda tumor merupakan protein yang terdapat dalam darah apabila tumor aktif dalam badan. Tahap penanda tumor yang tinggi sering menunjukkan penyakit aktif. Dari masa ke semasa, tahap penanda tumor boleh digunakan oleh pakar onkologi anda untuk memantau keberkesanan rawatan anda8

Tahap sel tumor dalam sistem peredaran

Sel tumor dalam sistem peredaran (Circulating Tumor Cells, CTCs) merupakan sel kanser yang bebas daripada tumor utama dan beredar dalam aliran darah.
​​​​​​​
CTCs boleh berperanan sebagai ‘benih’ untuk pertumbuhan tumor baharu (metastasis) di lokasi lain dalam badan. Pakar onkologi anda mungkin akan memantau tahap CTCs dalam darah untuk melihat sejauh mana anda memberikan tindak balas terhadap rawatan8.

Kewujudan metastasis baharu

Pakar onkologi anda ingin memastikan bahawa sel-sel kanser tidak merebak ke bahagian badan yang lain. Untuk tujuan ini, prosedur pengimejan seperti imbasan tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) akan digunakan.

BERAPA LAMAKAH SAYA PERLU MENERUSKAN RAWATAN?

Kanser payudara metastatik memerlukan anda menjalani rawatan jangka panjang. Ini kerana rawatan berterusan diperlukan untuk mengawal kanser anda dan mencegahnya daripada menjadi merebak, dan untuk membantu mengawal simptom metastasis1. Rawatan anda boleh berubah dari masa ke semasa dan anda mungkin akan menerima rawatan yang sama beberapa kali, yang diselang-selikan dengan rawatan lain.

Tidak ada satu cara terbaik untuk merawat kanser payudara metastatik kerana keadaan setiap pesakit adalah berbeza.

Anda mungkin terasa seperti hendak menghentikan rawatan sebaik sahaja anda berasa lebih baik atau jika ia membuatkan anda lebih sakit. Walau bagaimanapun, selagi boleh, ia amat penting agar anda meneruskan rawatan anda mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Sekiranya anda berhasrat untuk menghentikan rawatan, berbincanglah dengan pakar onkologi anda. Ini kerana, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu mengurangkan kesan sampingan.

Apakah kesan sampingan rawatan

yang boleh saya jangkakan?

Kesan sampingan yang anda alami akan bergantung pada jenis rawatan yang anda terima2. Kesan sampingan yang anda alami mungkin sangat berbeza dengan orang lain yang mengambil rawatan yang sama. Ini kerana setiap orang memberikan tindak balas yang berbeza.

Sekiranya anda menerima rawatan kemoterapi intravena, kesan sampingan biasanya akan menjadi lebih teruk dalam masa beberapa hari pertama selepas rawatan. Anda dinasihatkan membuat perancangan dan persiapan awal untuk menghadapi kesan sampingan rawatan anda lebih baik.

Sekiranya anda tidak mengalami apa-apa kesan sampingan, ini bukanlah bermakna rawatan kanser anda tidak berkesan.

Beritahu pakar onkologi atau jururawat anda mengenai sebarang kesan sampingan yang anda alami. Terdapat rawatan sokongan yang mengurangkan kesan sampingan atau pelan rawatan kanser anda juga mungkin akan ditukar. 

Kesan sampingan biasa dan bagaimana untuk menguruskannya

Antara kesan sampingan yang kerap dialami dalam rawatan kanser payudara ialah kelesuan, rasa sakit, loya dan muntah, cirit-birit, keguguran rambut, kiraan sel darah putih yang rendah, dan perubahan berat badan.

Kesakitan

Sekiranya anda berasa sakit, segera maklumkan kepada pakar onkologi atau jururawat anda. Mereka boleh memberikan ubat-ubatan bagi membantu mengatasi kesakitan anda dan mengesyorkan kaedah untuk melegakan kesakitan3.

Anda juga disarankan supaya mencatat kekerapan dan tahap kesakitan anda – adakah kesakitan menjadi lebih teruk pada waktu malam atau semasa melakukan perkara tertentu? Kaedah melegakan kesakitan dengan berkesan akan memberikan impak yang besar terhadap keadaan anda – ia dapat membantu mengurangkan kelesuan, keresahan dan kemurungan, serta meningkatkan kualiti tidur dan kesejahteraan keseluruhan anda.

Kesakitan akibat kanser lazimnya dirawat dengan ubat dan terapi sokongan2. Terapi seperti akupunktur, urutan dan teknik relaksasi dapat membantu anda untuk mengawal kesakitan anda. Senaman juga boleh membantu.

Keletihan

Keletihan bukan sekadar berasa lemah semata-mata: ia adalah keadaan tidak bermaya sepenuhnya. Ia mungkin berkaitan dengan kesan fizikal akibat kanser itu sendiri atau kesan sampingan rawatan. Ia juga mungkin berkaitan dengan perubahan corak tidur anda serta tekanan dan keresahan yang semakin meningkat3.

Tips untuk menangani keletihan2,3:

  • Makan pada masa yang tetap dan makan makanan yang berkhasiat
  • Lakukan senaman ringan dengan kerap
  • Rancang hari anda dan utamakan perkara yang penting
  • Minta bantuan daripada rakan-rakan dan keluarga
  • Rehat atau tidur jika letih
  • Bincang dengan pakar onkologi atau jururawat anda – mereka mungkin boleh memberikan ubat untuk membantu anda menangani keletihan​​​​​
    ​​​​​​​

Loya dan muntah

Loya dan muntah yang tidak dirawat boleh menyebabkan anda berasa sangat letih selain mengundang masalah yang lebih serius. Beritahu pakar onkologi atau jururawat anda sekiranya anda berasa loya atau muntah – ubat-ubatan akan membantu anda untuk mengawalnya.

Tips untuk mengurangkan loya dan muntah 2,3:

  • Lakukan senaman ringan dan hiruplah udara segar
  • Elakkan makanan pedas, berminyak atau sangat manis – cuba makanan yang tawar dan mudah dicerna
  • Halia dan lemon boleh mengurangkan loya
  • Makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap​​​​​​​
    ​​​​​​​

Masalah tidur dan insomnia

Terdapat beberapa sebab yang boleh menghalang anda daripada mencapai tidur yang nyenyak pada waktu malam. Ini termasuk rasa sakit, tekanan, kesan sampingan rawatan, keresahan dan kemurungan. Anda mungkin tidak boleh tidur, dan mungkin juga anda kerap terjaga pada waktu malam atau bangun sangat awal.

Keadaan ini boleh menjejaskan keupayaan anda untuk melakukan aktiviti harian. Beritahu pakar onkologi anda sekiranya anda mengalami masalah tidur – terdapat ubat yang boleh membantu anda.

Tips untuk membantu anda tidur 2,3:

  • Cuba kekalkan corak tidur biasa
  • Kurangkan bunyi dan cahaya di dalam bilik
  • Cuba teknik relaksasi, tafakur atau meditasi
  • Minum minuman panas sebelum tidur (tetapi elakkan minuman berkafein)
  • Simpan diari bersebelahan katil untuk mencatatkan sebarang kebimbangan yang menyebabkan anda sukar tidur​​​​​​
    ​​​​​​​

Kurang tumpuan dan perubahan kognitif

Ini boleh berlaku disebabkan perubahan fizikal atau emosi yang mungkin berkaitan rawatan anda ataupun sebab-sebab lain3. Sekiranya ini berlaku, laporkan masalah tumpuan anda kepada pakar onkologi atau jururawat anda.

Keguguran rambut

Sekiranya anda menerima rawatan kemoterapi, anda mungkin mengalami masalah penipisan rambut, rambut kering atau keguguran rambut3. Terapi antihormon juga kadangkala boleh menyebabkan penipisan rambut.

Bagi sesetengah kemoterapi, kaedah penyejukan kulit kepala mungkin berkesan untuk mencegah keguguran rambut.Namun begitu kaedah ini tidak boleh diguna pakai untuk semua kemoterapi. Tanyalah pakar onkologi anda sama ada kaedah ini dapat membantu mengurangkan kesan akibat rawatan tertentu yang anda ambil dan sama ada penyejukan kulit kepala ditawarkan di klinik anda.

Rambut gugur boleh menyebabkan anda berasa sangat risau. Sekiranya anda menjangkakan ia akan berlaku, anda boleh pertimbangkan untuk menyimpan rambut pendek2. Langkah ini dapat membantu anda mengawal keadaan dan bukannya menunggu sehingga rambut anda gugur.

Rujukan

  1. National Breast Cancer Foundation Australia (2020). Stage 4- Metastatic Breast Cancer. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://nbcf.org.au/about-breastcancer/ diagnosis/stage-4-advanced-or-metastatic-breast-cancer/.
  2. Australian Government Cancer Australia (Ogos 2020) Metastatic Breast Cancer. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.canceraustralia.gov.au/affected-cancer/cancer-types/breast-cancer/types/metastatic-breast-cancer.
  3. National Cancer Institute (2020). Breast Cancer Treatment -Patient Version. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.cancer.gov/types/breast/patient/breast-treatment-pdq
  4. National Cancer Institute (2020). NCI Dictionary of Cancer Terms. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.cancer.gov/publications/dictionaries/cancer-terms
  5. National Cancer Institute (2020). Chemotherapy to Treat Cancer. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.cancer.gov/about-cancer/ treatment/types/chemotherapy
  6. National Cancer Institute (2020). Hormone Therapy for Breast Cancer. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.cancer.gov/types/breast/breast-hormone-therapy-fact-sheet
  7. NCCN Guidelines for Patients Metastatic Breast Cancer 2020. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.nccn.org/patients/guidelines/content/PDF/stage_iv_breast-patient.pdf.
  8. Breastcancer.org (2020) Blood Marker Tests. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.breastcancer.org/symptoms/testing/types/blood_marker.
  9. Breastcancer.org (2020) Breast Cancer Tests: Screening, Diagnosis, and Monitoring. Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.breastcancer.org/symptoms/testing/types.
  10. Breastcancer.org (2020) BCT (CAT) Scans (Computerized Tomography). Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.breastcancer.org/symptoms/testing/types/cat_scans.
  11. Breastcancer.org (2020) Breast MRI (Magnetic Resonance Imaging). Diakses pada 18 Ogos 2020 dari laman https://www.breastcancer.org/symptoms/testing/types/mri.